Tuesday, August 17, 2010

Ting...ting... ting...jam menunjukkan ke pukul 2.00 pagi, selepas selesai menonton sebuah movie HBO....aku berehat sekejap dan terdiam lalu terfikir seketika........kenapa masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini tidak didedahkan dan terdedah dengan satu pelajaran ilmu tasauf? Kenapa pula mereka yang sudah mendalami ilmu tasauf pun tidak dapat berbuat apa-apa? Kenapa mereka berdiam diri? Kenapa mereka tidak hebohkan kepada rakan-rakan dan saudara-mara?

Pada hari ini pula, kelihatan begitu suram dan tidak diminati oleh sesiapa saja, ramai yang beranggapan ianya suatu pelajaran yang pelik dan sukar utk dipelajari.Sebabnya ramai juga yang membawa ajaran ini ke arah yang tidak sesuai dengan kehendak semasa serta terlalu jauh dari sudut kehidupan duniawi, Ada juga pembawaan mereka seolah-olah jauh menyimpang dari kehendak syariat. Kenapa? Mengapa ini berlaku? Semuanya ini adalah disebabkan tahap pemikiran dan pemahaman masing-masing belum masak ranum di dalam jiwa masing-masing.

Sehubungan dengan itu, sejauhmana pula tahap keberkesanan pelajaran tasauf dalam kehidupan seseorang itu bila mereka belajar dan berguru ? Aku naik hairan dengan maklumat yang aku terima daripada kawan-kawan bahawa ilmu tasauf sukar diterima oleh generasi sekarang dalam maksud 15 tahun kedepan ini, kerana mereka menganggap bahawa keseronokan, kegembiraan yang dikecapinya belum puas dan belum bersedia untuk berubah kepada yang terlebih baik.

Adakah kaum ibubapa dan penjaga yang bersalah dalam mendidik anak-anak mereka? Adakah kaum ibubapa pun tidak didedahkan dengan ILMU TASAUF?......sedangkan di negara Turki, Arab Saudi, Sudan, Afrika, Mesir, Iran, Iraq, Indonesia dan lain-lain negara mempamerkan dan mengalu-alukan pengajian Ilmu Tasauf  di dalam masyarakatnya dan ianya menjadikan suatu budaya dalam kehidupan seseorang yang beragam Islam.........Kenapa di negara Islam seperti di Malaysia tidak berlaku sedemikian rupa? Apakah kecacatannya? Apakah masalahnya? adakah tidak wujud seseorang yang bertanggungjawab untuk mengubah sesuatu kesesatan dan kejahilan tersebut? Bagaimana pula fungsi majlis agama negeri?

Madad Sidi Syeikh Mukhtar r.a telah meliputi timur dan barat. Bertaburan merata dunia dan setiap tempat dan kawasan. Melalui anak 'roh' Sidi Syeikh yang saban hari mengalunkan zikir dan selawat serta wirid-wirid yang lain. Beruntungnya jika semakin ramai seperti mereka di tempat dan kawasan yang kita diami.

Namun, perjalanan menyebarkan Thorikah ini amat sukar. Bukan semudah berkata-kata yang boleh diucapkan apa sahaja. Tetapi, hakikat ketinggian nilai itu, memang menjadikan ia amat sukar didekati dan dimiliki. Bahkan ramai yang berjaya memilikinya, namun terlepas kerana terleka dan terpedaya dengan keasyikan duniawi. Begitu juga sinar hidayah yang ada pada diri Wali Mursyid Khalifah Rasulullah s.a.w.(penganti baginda).

Pengalaman aku menceritakan segala-gala dalam jiwaku ini bahawa, ketentuan mengatasi kecerdikan. Di mana bila sesuatu itu sudah ditentukan oleh Yang Maha Bijaksana, maka kecerdikan manusia hanya mampu menjadi hiasan semata-mata. Tidak dipakai lagi. Kerana, kecerdikan akal hanya 'kunci' yang dipakai ketika 'membuka' sesuatu, namun tidak diguna lagi selepas berjaya membukanya! Kemudian selepas dapat dibuka, nilai kecerdikan akal akan terkeluar dari kotak pemikiran. Kerana.......................................menjadi rahsia peribadinya

Madad Madad. Madad Ya Sidi Syeikh!

Moga bumi Malaysia akan disirami madad Abal 'Ainain ( Syeikh Ibrahim Qurasy Dusuqy r.a ) yang pernah berkata : " Tidak akan akan sampai hujung usia dunia sehinggalah berkembangnya tarikatku ke masyriqain ( timur dan barat )

Marilah kita sama sama berusaha setakat yang kita mampu agar ada 'saham' yang telah kita sumbangkan dalam perjuangan yang penuh barokah ini. Amin

Maka dengan ini, aku rasa sudah tiba masanya kepada golongan-golongan ahli bertasauf menonjolkan diri masing-masing mengikut daya hikmat dan kebijaksanaan yang diberikan oleh Allah untuk membantu mereka yang memerlukan. Kemudian bersedia memberi khidmat ilmu berlandaskan fakta-fakta ilmu tasauf. Sebagaimana yang telah diterjemahkan oleh seorang yang mulia imam besar al-ghazali yang telah menerbitkan buku ihya'ulumuddin....kandungannya lebih kurang menyebutkan bahawa wajib ke atas setiap muslim mempelajari ilmu tasauf untuk membaiki dirinya dan menghindarkan diri dari melakukan perkara terkeji dan menghiasi  diri dengan sifat  yang mulia. Dalam erti kata sebenar sifat semulajadi manusia adalah yang lebih layak baginya adalah LEMAH- HINA- JAHIL DAN MISKIN.

Sebagaimana berkata Syeikh Khotim Al-jaiz: 'Barangsiapa mengatakan bahawa ia CINTA kepada Allah, tapi ia tidak mengamalkan apa yg disuruh dan mementingkan akhirat daripada dunia semata-mata, ia adalah PEMBOHONG, Barangsiapa mengatakan bahawa ia masuk akan Syurga, tapi ia bakhil atas hartanya untuk amal kebaikan, ia adalah PENIPU, Barangsiapa yang menCINTAI RASULULLLAH, tapi tidak mahu mengikuti sunnahnya yang dibawa dan dipikul oleh para aulia', maka itu adalah PENDUSTA. Oleh itu jangankan dikatakan dan mendakwa diri boleh rasa kasih dan sayang kepada rasulullah, kepada keluarga anak isteri ibu bapa pun belum tentu dapat diterjemahkan dalam sesebuah rumahtangga.

Maka dengan itu, segala amalan dalam bentuk ibadat zahir dan batin, seluruh waktu mereka tidak ada yang sia-sia kerana sentiasa dipenuhi dengan Asas-Zikir martabat-Zikir tetap-bacaan wirid - meditasi, maka setelah semuanya itu dapat diamalkan dengan istiqamah,ikhlas, jujur pada diri sendiri maka suatu masa nanti mereka akan dapat merasai nikmat hikmat hidayah dan rahmah  sebagai WARID.

Buat pengetahuan semua untuk memahami secara kasar status wirid pula dalam pemahaman tasauf adalah dituntut oleh Allah. Maka sesuatu akan berlaku di dalam batinnya sebagai pemberian Allah yang berupa ketenangan, cahaya ilahi, kemanisan, tauhid yang mantap dan hidayah.

Akhir kata, sesuatu yg akan berlaku ke atas batinnya berupa hal-hal yang halus dan bercahaya sehingga denganya menjadi lapanglah dadanya dan bersinarlah hatinya. Perkara ini berlaku disebabkan peraturan kehidupannya sebagai seorang islam mengabdikan diri melalui sumber ilmu syariat melalui pelaksaaan bertasauf  iaitu jalan menuju kepada kasih dan cinta kepada Rasulullah lalu tujuannya akan mudah tercapai melalui musyahadah, di mana ia berusaha sedaya upaya untuk memulihkan rohaninya lalu akan mendapat rahsia segala rahsia.

Sebagaimana berkata ulamak bahawa seseorang yang berthorikat itu menjadi medium atau jalan atau jambatan yang menghubungkan antara ilmu syariat yang diamalkan sekarang dengan hakikat kehidupan sebagai seorang manusia yang normal. Syariat yang dilakukan tanpa Tasauf ibarat tubuh badan manusia tanpa roh. Sesungguhnya seseorang yang bertasauf tanpa berthorikah adalah sia-sia.Sesungguhnya thorikah itu adalah sebagai pelengkap kehidupannya sebagai seorang islam yang bersyariat mengikut tatacara yang soheh dan dibenarkan dalam islam.

No comments: