Sunday, January 3, 2010

TABIAT MEROKOK DAN KESANNYA

Masyarakat dunia sependapat bahawa asap rokok punca utama masalah sekatan pulmonari kronik, jejaskan paru-paru dan sebagainya:


ANDA sering batuk berterusan dengan kahak selain pernafasan yang tercungap-cungap. Paling ketara, anda sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal seperti menaiki tangga mahu pun mandi atau semasa baring-baring menelentang.

Jika anda mengalami gejala sedemikian, ditambah lagi dengan faktor usia berusia 40 tahun, perokok atau tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok, maka anda berkemungkinan menghidap masalah dikenali sekatan sekatan pulmonari kronik atau COPD.

COPD bukanlah satu penyakit dan jika merujuk bahasa mudah, ia adalah sekatan secara progresif yang berlaku dalam tiub dan saluran udara yang menjadikan paru-paru gagal berfungsi.

Di Malaysia, penyakit berkaitan masalah respiratori menjadi penyumbang keempat terbesar terhadap jumlah pesakit yang dirujuk ke hospital kerajaan seluruh negara terutama membabitkan penyakit sekatan pulmonari kronik atau COPD.

Sifat penyakit COPD yang progresif dan simptom yang hanya mula dikesan selepas usia menjangkau lebih 40 tahun, menjadikan kesedaran masyarakat terhadapnya masih di tahap rendah.

Presiden Malaysian Thoracic Society, Prof Dr Roslina Abdul Manap, menjelaskan ramai pesakit yang mengalami COPD ini tidak menyedarinya pada peringkat awal sebaliknya menyangka simptom yang dialami adalah semula jadi dan sebahagian dari proses usia yang semakin meningkat.

“Ia yang turut dikenali dengan panggilan emphysema dan chronic bronchitis ini juga tiada kena mengena dengan serangan asma atau semput walaupun dalam banyak situasi ia ditandai dengan simptom dan kaedah rawatan yang hampir sama.

“Harus diingat bahawa COPD adalah penyakit yang tiada penawar dan mengancam nyawa. Tetapi pada masa sama, ia masih boleh dirawat untuk tujuan mengawal simptom, mengurangkan risiko komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel COPD bertajuk ‘Breathless Not Helpless’ yang juga tema Hari COPD Sedunia yang jatuh pada 18 November lalu.

Biarpun disambut pada hari berkenaan, hakikatnya kempen mengelak COPD ini seharusnya menjadi satu usaha yang berterusan kerana tabiat merokok yang semakin menular, khususnya membabitkan golongan muda.

Seperti diakui Prof Roslina, tabiat buruk merokok sememangnya menjadi punca utama penyakit ini. Namun, apa yang menyedihkan, mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok atau dikenali perokok pasif, juga tidak terkecuali menjadi penghidapnya.

“Kira-kira 80 hingga 90 peratus pesakit COPD adalah perokok. Dalam kebanyakan kes, penderita COPD punya sejarah merokok lebih daripada 20 batang sehari selama 10 tahun atau lebih, sebelum simptom COPD bermula,” katanya.

Bagaimanapun, kata Prof Roslina, terdedah secara pasif pada asap rokok dan pencemaran udara yang konsisten juga menyumbang kepada kegagalan fungsi paru-paru ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menganggarkan perokok pasif atau asap tembakau yang mencemar persekitaran dikaitkan dengan peningkatan sebanyak 10 hingga 43 peratus risiko mendapat COPD bagi orang dewasa.

“Pencemaran udara dilihat sebagai satu lagi faktor penyumbang terutama menerusi sulfur dioksida dan asap hitam. Malah risikonya sama tinggi dengan asap rokok.

“Habuk dan asap kimia di tempat kerja juga boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru. Pendedahan kepada Cadmium, arang batu, habuk silika juga sangat berbahaya malah diet dan genetik juga memainkan peranan dalam penularan COPD,” katanya.

Memandangkan sifatnya yang progresif, usaha dikenali Global Initiative for Chronic Obstructive Lung Disease (Gold) menyarankan mereka yang berpotensi menghidap COPD dikesan awal menerusi alat diagnosis dipanggil spirometry.

Alat ini mengukur berapa banyak udara mampu dihembus dalam satu saat selepas menarik nafas dalam dalam; berapa banyak udara mampu dihembus secara paksa selepas menarik nafas dalam dalam dan berapa banyak daripada jumlah semua udara yang dihembus secara paksa berjaya dihembus pada saat pertama.

INFO: COPD atau sekatan pulmonari kronik
Simptom

-batuk berterusan
-batuk yang berkahak dan berlendir
-sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal (cth: naik tangga, membeli belah, mandi dan memakai baju)

Mereka yang berusia lebih 40 tahun dan mempunyai simptom ini dinasihatkan berjumpa doktor

Diagnosis:
COPD dapat dikenal pasti melalui diagnosis dengan mengenal pasti sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal, x-ray dan memeriksa fungsi paru-paru.

Kesan COPD:
Boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara. Ini disebabkan gejala seperti batuk berterusan, menghalang pesakit daripada menjalankan aktiviti harian.

FAKTA:
WHO menganggarkan 210 juta penduduk dunia menghidap COPD, dan lebih dari 3 juta mati akibatnya pada 2005. Daripada pelbagai punca kematian utama dunia, lima peratus adalah disebabkan oleh COPD dan di ramalkan pada 2020 COPD menjadi penyebab kematian ketiga tertinggi di dunia.

Kesan COPD di rantau Asia Pasifik dikatakan membimbangkan berikutan peningkatan bilangan perokok.

Dianggarkan 50 peratus lelaki di Malaysia merokok dengan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman manakala 500,000 penduduk adalah pesakit COPD sama ada pada tahap sederhana atau serius.

COPD turut membebankan ekonomi negara. Berbanding dua lagi penyakit berkaitan tabiat merokok, COPD menyumbang sehingga 77 peratus anggaran peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Kesimpulannya,sejauhmana usaha kerajaan menaikkan harga rokok pun,tidak memberi kesedaran kepada penagih-penagih rokok.Berapa harga rokok pun tetap akan dibeli oleh masyarakat.Bukan setakat rokok, syabu,dadah,air ketong,ganja,pil kuda dan seangkatan dengannya turut dibeli juga oleh penagih walau beribu harganya.....renung-renungkanlah wahai kerajaan.

No comments: